Tuesday, January 3, 2012

SATU KOMEN PERIBADI

Sebenarnya saya tidak layak untuk memberi komen atau pandangan terhadap isu pembantaian mahasiswa UPSI oleh pihak polis. Mereka itu mengalami penderitaan dan merasai kesakitan akibat cota dan sepak penerajang. Sedangkan saya hanya duduk di rumah dan menonton sahaja. Apapun, apabila seorang junior di IPG menanyakan komen saya berkaitan pembantaian ini, inilah komen peribadi saya yang belum tentu betul dan kemungkinan ada secebis benarnya.
Untuk meletakkan siapa yang betul yang salah, perlu kepada satu proses yang rumit dan teliti supaya kita tidak meletakkan kesalahan bukan pada ahlinya. Cuma buat para mahasiswa,adakah benar kita berdemonstrasi untuk menuntut supaya dirungkaikan belenggu yang menafikan hak mahasiswa untuk bersuara dan kebebasan akademik? Adakah benar demonstrasi itu 100% memanifestasikan mesej menuntut sebuah kebenaran? Bagaimana adab kita semasa berdemonstrasi?? Bersihkan ia daripada caci maki dan provokasi kepada pihak yang polis yang bertugas? Lihatlah pada Rasulullah S.A.W dan para sahabat yang berperang bukan bertujuan menyerang dan mengibarkan imej kekejaman. Mereka dalam keadaan berperang tetapi adab masih tetap dijaga.Orang yang tidak terlibat dengan peperangan tidak boleh dibunuh. Apa yang para sahabat lakukan kepada musuh yang menyerah diri? Adakah musuh dicaci dan dimaki? Satu hakikat yang perlu kita telan ialah polis juga manusia biasa yang kadang kala mampu mengawal emosi dan kadang kala akan “meletup” andai disumpah seranah. Jika cacian dan kemarahan yang dilontarkan kepada pihak polis semasa berdemonstrasi, maka kita dibantai kerana kita mencaci bukan kerana sebuah kebenaran. Seandainya demonstrasi kita penuh dengan adab, kita juga telah buktikan bahawa demonstrasi bukan satu medan untuk membuat huru-hara dan jauh sekali mencemarkan keamanan melainkan menuntut sebuah kebenaran dan keadilan tetapi pembantaian tetap juga berlaku, maka tidak dapat tidak mahasiswalah yang berada di pihak yang benar. Bukan untuk membuat andaian dan menyalahkan mahasiswa, tetapi untuk mengajak berfikir bahawa untuk menghukum bukan hanya melihat atas kapasiti rakan seperjuangan atau "mereka itu geng kita" atau DENGAN HANYA MELIHAT KEPADA HASIL TANPA MENELITI PUNCA DAN ASBAB.
Kisah lain, antara komen yang menarik perhatian saya ialah satu komen yang berbunyi "mahasiswa yang berdemonstrasi itu tidak mahu belajar dan hanya tahu berdemonstrasi sahaja..kalau tak mahu belajar, berhenti sahaja..ramai lagi yang nak belajar." Saya rasa filem Hindustan “3 Idiot” yang dilakonkan oleh Amir Khan mampu menjadi jawapan bagi persolan ini. Adakah hanya sekadar menghafal fakta kemudian memuntahkan di atas kertas untuk mendapat pointer tinggi itu yang dikatakan belajar? Mahasiswa yang keluar berdemonstrasi itu mereka belajar, berfikir dan membuat pertimbangan dan bertindak. Apabila mereka bertanya “Apa rasionalnya hak kami untuk bebas bersuara dirantai oleh AUKU??” Apakah jawapan yang mampu diberi?? …Demonstrasi itu tidak salah, cuma bagaimana kita berdemonstrasi itu yang perlu direnungkan. Wallahu ‘alam.

1 comment: